Monday, August 11, 2014

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor - Penilaian Semula Hukum Pelaburan ASN Dan ASB Dan Seumpamanya

Tarikh Keputusan: 
   12 Apr, 2011
Keputusan: 

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-
  1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:

    ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال
    Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ” 
  2. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
     
  3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen. 

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang - Permasalahan Mengenai Wang Shubhah / Haram/ ASN

Keputusan: 
 
Mesyuarat memutuskan bahawa:-
 
  1. Semua wang shubhah/haram yang diserahkan kepada Baitul Mal adalah dianggap satu dan bersih. (Rujuk kitab al-Imam Yusuf al- Qaradhawi, m/s 411 & 412)
     
  2. Wang riba/faedah adalah haram bagi diri pengusahanya sahaja.(Rujuk kitab yang sama m/s 410)
     
  3. Keuntungan/Dividen Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah haram kerana pelaburan terbesarnya adalah Bank Ribawi.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pahang - Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional dan Seumpamanya

Tarikh Keputusan: 
   18 Jun, 2008
Huraian Tajuk/Isu: 
Keputusan: 
Setelah dibincangkan Mesyuarat bersetuju memutuskan hukum pelaburan di dalam Amanah Saham Nasional dan seumpamanya adalah haram sehingga pelaburan Amanah Saham Nasional didalam aktiviti perbankkan menepati kehendak dan syarat pelaburan menurut syariah seperti yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Sunday, January 26, 2014

CIMB-Principal Bayar Rm76.4 Juta Dalam Agihan Untuk 15 Dana

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- CIMB-Principal Asset Management Bhd telah mengumumkan agihan pendapatan sebanyak RM76.4 juta untuk 15 unit amanahnya bagi suku keempat berakhir 31 Dis tahun lepas berikutan pertumbuhan pasaran ekuiti Asia yang memberangsangkan.

Ketua eksekutif Munirah Khairuddin berkata ekuiti Asia pada suku terakhir 2013 melihat pulangan positif dengan unjuran global yang lebih kukuh mendorong sentimen di rantau itu.

"Bersama-sama dengan proses pengurusan dana kami yang kukuh dan pengetahuan dan kehadiran kami, kami berupaya secara konsisten berinovasi untuk menepati kehendak pelabur," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat 31 Dis, 2013, CIMB-Principal Institutional Bond Fund 2, CIMB-Principal Institutional Bond Fund 5 dan CIMB-Principal Institutional Bond Fund 5 memberikan agihan kasar 0.74 sen, 0.65 sen dan 0.78 sen setiap satu.

Syarikat itu juga mengumumkan agihan kasar 10 sen bagi CIMB-Principal Equity Fund 2, 1.05 sen untuk CIMB Islamic Balanced Fund dan 5.17 sen bagi CIMB-Principal Balanced Income Fund.

Dalam kategori dana pasaran wang, pelabur CIMB Islamic Money Market Fund menerima agihan kasar 0.12 sen, CIMB-Principal Deposit Fund 0.23 sen, CIMB Islamic Deposit Fund 0.22 sen dan CIMB-Islamic Wholesale Money Market Fund 0.41 sen.

Syarikat itu juga mengumumkan agihan kasar 0.23 sen, 0.26 sen dan 0.10 sen bagi masing-masing CIMB-Principal Wholesale Deposit Fund 1, CIMB-Principal Wholesale Deposit Fund 2 dan CIMB-Principal Wholesale Deposit Fund 3.

Sementara itu, agihan kasar 0.24 sen dan 0.18 sen setiap satu dibayar kepada CIMB-Principal Corporate Deposit Fund dan CIMB Islamic Corporate Deposit Fund.

Mengenai prospek, Munirah yakin unjuran positif bagi peluang pelaburan di rantau ini akan berterusan tahun ini.

"Kami meramalkan pertumbuhan perolehan sesaham (EPS) Asia bagi 2014 kekal pada sekitar lapan peratus, manakala lebih banyak unjuran optimis daripada ramalan perolehan konsensus dianggarkan pada 12 peratus," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata CIMB-Principal terus berhati-hati mengenai impak daripada kemungkinan penurunan penarafan Asean, terutamanya dengan ketidaktentuan politik Thailand dan inflasi di Indonesia.

Ia juga menjangka perolehan Asia tidak termasuk Jepun mungkin beralih arah pada hujung tahun ini apabila momentum pertumbuhan tertunda mula meningkat, terutamanya di Asia Utara.

Sungguhpun begitu, portfolio ekuiti serantau CIMB-Principal akan kekal tertumpu kepada pemilihan saham dan pelaburan dalam syarikat yang mempunyai prospek pertumbuhan jangka panjang dan perubahan struktur di Asia.

Pada pasaran domestik, beliau berkata komitmen kerajaan untuk reformasi struktur dan potensi kenaikan penarafan perolehan boleh melihat penarafan semula penilaian tahun ini bagi Malaysia.

"Portfolio ekuiti kami secara perbandingannya dilaburkan dengan banyak tetapi ditempatkan secara defensif dalam sektor yang termasuk utiliti, telekomunikasi dan minyak dan gas," tambah beliau. Setakat ini, CIMB-Principal menguruskan sejumlah 59 dana saham amanah termasuk 21 yang mematuhi syariah, 12 dana borong, 10 Skim Persaraan Swasta (PRS) dan dua dana dagangan bursa (ETF).

Syarikat itu yang juga merupakan salah satu pengurus wang institusi utama di Malaysia, dengan jumlah aset bawah pengurusan setakat 31 Dis, 2013 dicatatkan pada RM41.9 bilion, naik 18.2 peratus daripada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM39.8 bilion.

-- BERNAMA

Thursday, December 26, 2013

Kadar simpanan asas baharu KWSP Januari 2014

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahlinya berhubung kuantum baharu Simpanan Asas, yang menetapkan RM196,800 sebagai amaun minimum ahli yang perlu ada dalam akaun KWSP mereka menjelang umur 55 tahun, berkuat kuasa bulan depan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, kadar baharu itu ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam, yang bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.

Beliau berkata, ia akan disemak setiap tiga tahun berdasarkan kepada keperluan persaraan, kadar inflasi dan kos hidup.

"Dengan mengambil kira faktor kos hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang serta kadar inflasi, KWSP telah membuat keputusan meningkatkan Simpanan Asas untuk memastikan 13 juta ahlinya mempunyai tahap simpanan yang mencukupi bagi menikmati persaraan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Affendi berkata Simpanan Asas semasa ialah RM120,000 pada umur 55 (RM500 sebulan bagi tempoh 20 tahun) mungkin tidak mencukupi bagi menampung persaraan ahli kerana berada di bawah garis kemiskinan.

Selain itu, katanya, statistik KWSP menunjukkan 71 peratus ahli bersara pada umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka.

Nik Affendi berkata, kadar yang disemak semula ini memerlukan ahli mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP bagi membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP di mana simpanan mereka boleh dilaburkan dalam unit amanah.

"Ini untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun KWSP apabila mereka bersara bagi membiayai keperluan asas persaraan sebelum boleh memilih untuk melabur dalam pelaburan lain," katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang diperkenal KWSP untuk mempertingkat simpanan persaraan ahli ialah kadar caruman majikan sebanyak 13 peratus untuk pekerja yang bergaji RM5,000 dan ke bawah.

"Selain itu, kadar caruman penuh KWSP untuk pekerja sehingga umur 60 tahun dan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun yang membenarkan ahli untuk memanjangkan simpanan KWSP mereka bagi tempoh yang lama," katanya.

Bagi membantu ahli merancang persaraan mereka, Nik Affendi berkata KWSP akan memperkenal perkhidmatan penasihat kewangan kepada ahli mulai tahun depan dengan projek perintis di Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun. - Bernama

Sunday, September 8, 2013

SC pinda garis panduan unit amanah

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang meminda Garis Panduan Unit Amanah bagi mengadakan struktur pelbagai kelas produk unit amanah.
Pengerusinya, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, pindaan itu akan membolehkan dana unit amanah tunggal menawarkan pelbagai kelas unit dengan setiap kelas memiliki ciri-ciri berbeza seperti yuran dan bayaran yang dikenakan serta dan mata wang yang digunakan.
Katanya, peningkatan tahap produk sofistikated dan pilihan pengagihan yang ditawarkan berdasarkan keperluan industri perlu selaras dengan piawaian tinggi pengendalian dan pemberitahuan jualan.
''Kita akan sentiasa mengkaji garis panduan sedia ada berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pemegang kepentingan, selain pemantauan pembangunan antarabangsa.
''Industri ini berkembang dan kita perlu lebih inovatif, mencari jalan baru yang lebih baik untuk memberi pelabur banyak pilihan bagi memenuhi kehendak mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Edge-Lipper Starmine 2010 di sini hari ini.
Sebagai contohnya, katanya, para pelabur diberi pilihan untuk memilih atau membayar yuran pendahuluan dengan yuran tahunan lebih rendah atau yuran tahunan lebih tinggi bagi menggantikan yuran pendahuluan.
Tambah beliau, pendekatan tersebut akan membolehkan pelabur mendapat padanan yang lebih baik bagi rujukan pelaburan untuk kumpulan pelabur berbeza.
Zarinah berkata, dengan pilihan mata wang akan memberi kemudahan pemasaran kepada pelabur asing yang melabur secara terus dalam mata wang masing-masing berbanding terpaksa melakukan pertukaran mata wang dalam ringgit ketika ini.
''Pendekatan ini juga adalah sama sekiranya pelabur tempatan mahu terdedah kepada pelaburan asing,'' ujarnya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptamanya, Zarinah menyeru industri unit amanah tempatan terus meluaskan rangkaian produk dan pasarannya.
Tegas beliau, negara mempunyai kelebihan sebagai pusat Pasaran Modal Islam dan kini memiliki 144 unit amanah berlandaskan Syariah.
Beliau menambah, pengantara unit amanah tempatan merupakan yang terbaik di rantau ini dan mempunyai kedudukan baik untuk memainkan peranan signifikan dalam arena serantau.
''Sekarang industri mesti meningkatkan cabaran dengan meluaskan rangkaian dengan pasaran-pasaran lain dan memperbaiki kecekapan di peringkat antarabangsa, dengan kelebihan kemudahan rangka kerja perundangan yang telah diwujudkan,'' katanya.

(Utusan Malaysia/4 Februari 2010)

Wednesday, August 22, 2012

Optimumkan pulangan dari simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) anda

Optimumkan pulangan dari simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) anda yang memberikan dividen sekitar 6-7% setahun dengan melaburkan sebahagiannya dalam dana-dana unit amanah Islam yang diurus oleh CWA dll yang berpotensi dan terbukti memberi pulangan sebanyak 20-30% setahun (purata berdasarkan prestasi pulangan 3-5 tahun lepas), insya Allah.

KWSP membenarkan ahli mengeluarkan 20% dari jumlah yang layak dari akaun 1 KWSP ahli setiap 3 bulan untuk tujuan pelaburan dalam dana unit amanah Islam yang terpilih.


Melabur melalui Skim Pelaburan KWSP juga tidak memerlukan transaksi wang tunai. Pelaburan diurusniagakan terus daripada Akaun 1 anda. Sebarang penjualan unit, pengeluaran pelaburan mahupun untung juga tidak dapat terus ke tangan anda melainkan ia berpatah balik semula ke dalam Akaun 1 KWSP anda.  Anda hanya boleh mengeluarkan kesemua hasil pelaburan tersebut apabila berumur 55 tahun nanti.

72% daripada pesara KWSP yang mengeluarkan simpanan mereka pada ketika umur 55 tahun, menghabiskan kesemua simpanan tersebut dalam masa 3 tahun sahaja."
~ Pengerusi Lembaga KWSP,Tan Sri Abdul Halim Ali

Syarat-syarat
1) Minimum setiap kali pengeluaran ialah RM1,000.00
2) Jumlah yang boleh dilaburkan ialah 20% daripada baki yang melebihi Simpanan Asas yang diperlukan dalam Akaun 1.
(Jumlah Akaun 1 -  Simpanan Asas yang diperlukan) x 20%
3) Anda dibenarkan membuat pengeluaran berkala setiap 3 bulan selepas pengeluaran pertama.

Bagaimana caranya untuk saya mengeluarkan wang KWSP untuk memmbuat pelaburan dalam unit amanah Islam?

Langkah-langkah...
1) Berapa umur anda sekarang?
2) Berapakah jumlah Akaun 1 KWSP anda?
3) Berapakah simpanan Asas yang diperlukan dalam Akaun 1? (Sila Rujuk Jadual Simpanan Asas Akaun yang ditetapkan oleh KWP seperti yang tertera pada pautan ini: Pengeluaran Pelaburan Ahli KWSP
4) Berapakah jumlah yang boleh anda keluarkan untuk membuat pelaburan?
5) Adakah anda layak melabur?

JAWAPAN & PENGIRAAN
Contoh...
1) Umur saya = 35 tahun
2) Jumlah Akaun 1 KWSP saya = RM60,000
3) Merujuk jadual di atas pada umur 35 tahun, Simpanan Asas yang diperlukan dalam Akaun 1 = RM29,000
4) Pengiraan:
= (Jumlah Akaun 1 - Simpanan Asas Yang Diperlukan) x 20%
= (RM60,000 - RM29,000) x 20%
= (RM31,000) x 20%
= RM6,200
5) Ya, anda layak kerana jumlah wang dari Akaun 1 yang boleh dilaburkan melebihi syarat nilai minimum(RM1,000).
  

Untuk maklumat lanjut hubungi perunding pelaburan dan kewangan Islam anda:

Ahmad Sanusi Husain
Perunding Pelaburan & Kewangan Islam
Kuala Lumpur
email: sanusi.my@gmail.com
SMS: 019-234 8786 / 019-384 9330
Tel: 603-2168 1879

Pelaburan halal, pengurusan profesional, pulangan sangat memuaskan...insya Allah.

Monday, August 20, 2012

Riba: Definisi dan Jenis-jenis Riba

Isu riba’ merupakan isu yang penting dalam kehidupan seharian bagi seorang Muslim. Ia mungkin sudah difahami oleh sebahagian Muslim, tapi tidak dihayati untuk meninggalkannya. Riba’ merupakan suatu larangan yang bersifat mutlak oleh Allah SWT. 

Apa itu Riba’?

Apa Jenis-jenis Riba’?

Apa hukuman bagi orang yang degil untuk meninggalkan amalan Riba’?

Apa itu Riba’?

Takrifan ringkas riba’ ialah merupakan sebarang tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh dan tambahan dalam pertukaran barangan tertentu (barang ribawi)(1). 

Ia merangkumi merangkumi riba daripada hutang (riba ad-Duyun)  dan riba melalui pertukaran barangan ribawi (riba al-Buyu’).

Apa pula Riba’ ad-Duyun dan riba al-Buyu’?



A) Riba’ ad-Duyun
Riba jenis ini adalah riba’ yang muncul dari hutang. Ia merupakan lebihan yang terhasil disebabkan tempoh. Ia terbahagi kepada dua iaitu:


a) Riba al-Qardh: Iaitu sebarang manfaat tambahan yang disyaratkan ke atas pemberian jumlah pinjaman pokok. Syarat ini dibuat pada awal kontrak pinjaman. Ia dikenakan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam. 

Sebagai contoh, Ahmad ingin meminjam RM1,000 daripada Mohd. Tetapi Mohd menetapkan syarat bahawa Ahmad wajib membayar semula hutang tersebut sebanyak RM1,200. Lebihan RM200 merupakan riba ad-Duyun jenis al-Qardh.



b) Riba al-Jahiliyyah: Merupakan kadar atau sebarang manfaat tambahan lebih dari jumlah pokok, yang dikenakan oleh pemberi pinjam kepada peminjam akibat si peminjam gagal membayar pada tempoh yang telah dipersetujui.  

Sebagai contoh, Mohd bersetuju memberi pinjaman kepada Ahmad sebanyak RM500 dan dikehendaki membayar kembali satu bulan dari sekarang. Tetapi sekiranya Ahmad gagal membayar hutang Mohd sebelum atau pada 1 bulan yang telah ditetapkan, maka Ahmad dikehendaki membayar pada Mohd sebanyak RM600. Lebihan sebanyak RM100 merupakan riba’ ad_Duyun jenis al-Jahiliyyah.



B) Riba’ al-Buyu’
Riba’ jenis ini pula muncul daripada jual beli barangan ribawi. Ia merupakan ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran 2 barang ribawi atau pertukaran tersebut dibuat secara tangguh.



a) Riba’ an-Nasa’: Ia merupakan jual beli atau pertukaran 2 barangan riwabi yang sama jenis dan pertukaran tersebut dibuat secara tangguh (tidak sempurna dalam 1 masa).

Sebagai contoh, Aminah membeli emas seberat 6 gram dengan harga RM1,000 secara tangguh (maknanya, ambil emas hari ini, bayarnya bulan depan). Riba an-Nasa' juga disebut sebagai riba an-Nasiah.

b) Riba al-Fadhl: Merupakan jual beli atau pertukaran antara 2 barangan ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat (jika dijual dengan timbang) atau kuantiti (jika dijual secara bilangan kuantiti)

Sebagai contoh, Menukar 10 gram emas (jenis 916) dengan 12 gram emas (jenis kualiti 750). Pertukaran jenis ini adalah haram kerana sepatutnya kedua-duanya mesti sama timbangan (contoh: 10 gram atau 12 gram). Perbezaan kualiti tidak memberikan kesan kepada hukum.


Terdapat 2 syarat yang wajib dipenuhi agar terhindar daripada riba al-Fadhl dan riba’ an-Nasa’, iaitu:

i) Mesti sama berat atau kuantiti nya (walau berbeza kualiti dan harganya).


ii) Transaksi pertukaran mesti dilakukan dalam satu masa atau satu majlis (maksudnya, pembeli dan penjual tidak boleh beredar sebelum menyerahkan barang pertukaran).

Apa Ancaman Bagi Orang Islam Yang Mengamalkan Riba’?

A) Allah dan RasulNya Mengisytiharkan Peperangan ke atas Pemakan dan Pemberi Riba.

Firman Allah swt:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.  Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 278-279)  


Ini merupakan ancaman keras dari Allah. Bahkan merupakan ayat cabaran dari Allah bagi sesiapa yang degil dan engkar dengan perintahNya. Imam Abu Hanifah pernah berkata;” Ini adalah ayat al-Quran yang paling menakutkan.”

Tinggalkan riba jika kamu benar-benar mengaku sebagai hamba Allah.

B) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.
Firman Allah swt:


“Allah menghancurkan keberkatan kerana riba’ dan menambahkan keberkatan daripada sedekah.” (al-Baqarah: 276)

C) Seperti berzina dengan Ibu Bapa Sendiri.


Nabi saw Bersabda:


“Riba’ mempunyai 72 pintu. Riba’ yang paling ringan dosanya ialah seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.”
(Riwayat at-Tabrani, 7/158; al_Hakim, Sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)

Mari kita buka mata dan hati, betapa beratnya ancaman Allah terhadap orang yang mengamalkan riba dalam kehidupan seharian.

D) Lebih berat Daripada 36 Kali Berzina.
Nabi saw bersabda:


” Satu dirham riba’ yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali.” (Riwayat Ahmad dan Ad-Dar Qutni)

E) Salah Satu Daripada 7 Dosa Besar.
Nabi saw bersabda:


” Jauhilah 7 dosa besar; syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan riba’, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan(kerana takut), dan menuduh perempuan yang suci berzina(tanpa saksi adil).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Fahami apa itu riba’, jenis-jenisnya dan apa ancaman yang datang dari Allah dan Rasulnya bagi sesiapa yang mangamalkan riba’ dalam kehidupan meraka. Semak semula, dari mana sumber pendapatan kita selama ini. Semoga kehidupan kita bebas riba dan larangan-larangan yang lain.

Nota: (1) Barangan ribawi adalah berkaitan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud: “Apabila ditukar emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus(pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana disukai.” (Riwayat Muslim nombor 4039, nombor hadis, 11/9)

---
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.blogspot.com
Perunding & Pensyarah: www.ahmad-sanusi-husain.com
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com   

Pasaran Modal Islam



Dalam pasaran modal Islam (ICM), urus niaga pasaran dijalankan dengan cara yang tidak mendatangkan konflik dengan hati nurani umat Islam dan agama Islam. Di sini, terdapat ketegasan undang-undang Syariah supaya pasaran bebas daripada aktiviti yang dilarang oleh Islam seperti usury ( riba), perjudian (maisir) dan kesamaran (gharar).

ICM merupakan satu komponen daripada keseluruhan pasaran modal di Malaysia. Ia memainkan peranan penting dalam menjanakan pertumbuhan ekonomi bagi negara ini. Fungsi ICM sebagai sebuah pasaran yang selari dengan pasaran modal konvensional, dan memainkan peranan sebagai pelengkap kepada sistem perbankan Islam dalam memperluas dan memperdalam pasaran kewangan Islam di Malaysia.

Ketika pasaran menjadi semakin kompleks dan canggih, ia memerlukan sokongan infrastruktur supaya sistemnya boleh beroperasi dan berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan. Inisiatif awal SC dalam menubuhkan sebuah Jabatan Pasaran Modal Islam (ICMD) yang berdedikasi dalam Kumpulan Urusan Strategi dan Pembangunannya adalah untuk menyediakan sokongan infrastruktur yang amat diperlukan. Mandat bagi ICMD adalah untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan termasuk membentuk dan memudahcarakan satu pelan jangka panjang bagi memperkukuh ICM di Malaysia.

Majlis Penasihat Syariah (MPS) ditubuhkan pada bulan Mei 1996 untuk menasihati Suruhanjaya mengenai perkara-perkara yang berkaitan Syariah, yang membabitkan ICM. Ahli-ahli MPS merupakan individu berkelayakan yang boleh memberikan pandangan mengenai Syariah dan mempunyai pengalaman luas dalam pengaplikasian hukum Syariah, terutama dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.

Hari ini, ada pelbagai produk pasaran modal untuk orang Islam yang hanya mahu melabur dan berurus niaga dalam ICM. Produk-produk tersebut termasuk dalam senarai sekuriti patuh Syariah SC, sukuk , unit amah Islam, indeks Syariah, waran (TSR), waran panggilan dan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah.

Soalan-soalan Lazim mengenai Pasaran Modal Islam


1. Apakah Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti dan peranannya?
MPS Suruhanjaya Sekuriti ialah jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh SC pada tahun 1996 di bawah seksyen 18, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA). MPS diberikan mandat dalam memastikan perjalanan pasaran modal Islam selaras dengan prinsip-prinsip Syariah. Bidang kuasanya ialah memberi nasihat kepada Suruhanjaya dalam semua perkara berhubung pembangunan pasaran modal Islam yang komprehensif dan bertindak sebagai pusat rujukan dalam semua isu pasaran modal Islam. Ahli MPS terdiri daripada ulama Islam dan pakar kewangan Islam.


2. Apakah sumber rujukan asas penyelidikan dalam pasaran modal Islam?

Sumber rujukan asas penyelidikan dalam pasaran modal Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

Sumber utama: al-Quran dan al-Sunnah
Sumber sokongan: Ijmak (persepakatan pendapat) , qiyas (kesimpulan secara analogi) , maslahah (kepentingan umum) dan sumber-sumber lain yang diterima oleh Syariah.

3. Apakah Senarai Sekuriti Patuh Syariah?

Senarai sekuriti patuh Syariah mengenal pasti syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang aktivitinya mematuhi kriteria Syariah yang ditetapkan oleh MPS.


4. Berapa kerapkah senarai Sekuriti patuh Syariah dikemaskinikan?

Senarai berkenaan dikemaskinikan dua kali setahun iaitu pada hari Jumaat terakhir bagi bulan Mei dan November setiap tahun.


5. Apakah kriteria umum Syariah yang digunakan dalam menilai sesuatu syarikat ?

Kriteria umum dalam menilai sekuriti patuh Syariah ialah syarikat itu tidak terlibat dalam aktiviti teras seperti yang berikut:

Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
Perjudian;
Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
Insurans konvensional;
Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah;
Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
Pembrokeran atau jual beli sekuriti yang tidak diluluskan Syariah; dan
Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.
MPS juga mengambil kira tahap sumbangan daripada pendapatan faedah yang diperoleh syarikat hasil daripada simpanan tetap konvensional atau instrumen kewangan konvensional yang lain. Selain itu, dividen yang diterima daripada pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah juga diambil kira dalam kajian yang dijalankan oleh MPS.


Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu:

pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan
aktiviti teras syarikat penting dan mempunyai maslahah (kepentingan umum) kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan Syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara 'umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), 'uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.
6. Apakah tanda aras yang digunakan bagi menentukan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti selaras dan tidak selaras dengan Syariah?

Untuk penentuan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti selaras dan tidak selaras dengan Syariah kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu mengikut ijtihad (proses mengeluarkan pendapat daripada sumber Syariah oleh ulama yang layak). Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah. Tanda aras tersebut adalah seperti yang berikut

a) Tanda aras lima peratus

Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas keharamannya (tidak selaras dengan Syariah) seperti riba (syarikat berasaskan faedah seperti bank konvensional), judi, minuman keras dan daging babi.


b) Tanda aras 10 peratus

tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur "umum balwa" iaitu perkara terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan tersebut ialah pendapatan faedah daripada simpanan tetap dalam bank konvensional. Tanda aras ini juga digunakan bagi aktiviti yang melibatkan tembakau.


(c) Tanda aras 20 peratus

Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan terima sewaaan daripada aktiviti tidak patuh Syariah seperti sewaan premis yang menjalankan aktiviti perjudian, jualan arak dan sebagainya.


d) Tanda aras 25 peratus

Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya selaras dengan Syariah dan mempunyai maslahah (kepentingan umum), namun terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status Syariah aktiviti berkenaan. Antara aktiviti yang mempunyai tanda aras ini ialah aktiviti pengendalian hotel dan pusat peranginan, perniagaan saham, pembrokeran dan sebagainya kerana aktiviti tersebut berkemungkinan melibatkan aktiviti lain yang tidak selaras dengan Syariah.

7. Apakah nasihat MPS kepada pelabur yang melabur dalam sekuriti patuh Syariah, tetapi kemudiannya sekuriti tersebut bertukar statusnya kepada 'tidak patuh'?

Sekiranya ketika pengumuman dikeluarkan, nilai sekuriti yang dipegang melebihi kos pembelian asal, pelabur yang memegang sekuriti tidak patuh Syariah hendaklah melupuskannya. Sebarang keuntungan modal yang diperoleh daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah pada masa pengumuman dibuat boleh diambil oleh pelabur. Walau bagaimanapun, sekiranya pelupusan sekuriti yang tidak patuh berkenaan dibuat selepas hari pengumuman, maka lebihan keuntungan modal daripada perbezaan harga semasa pasaran dengan harga penutup pada hari pengumuman hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan.


Sebaliknya, pelabur dibenarkan untuk memegang sekuriti tersebut sekiranya nilai sekuriti yang dipegang lebih rendah daripada kos pembelian asal. Dalam tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk menerima dividen sehingga jumlah keseluruhan dividen yang diterima dan nilai pasaran sekuriti yang tidak diluluskan tersebut menyamai kos pembelian asal. Pada ketika itu, pelabur dinasihatkan untuk melupuskan sekuriti tersebut.


8. Apakah kos pembelian asal?

Kos pembelian asal merupakan kos pembelian sekuriti termasuk kos pembrokeran dan kos transaksi yang berkaitan.


9. Apakah yang perlu pelabur lakukan sekiranya mereka ditawarkan terbitan hak, terbitan bonus, terbitan istimewa atau waran oleh syarikat tidak patuh Syariah yang dipegangnya?

Pelabur dibenarkan untuk melanggan:

sebarang terbitan sekuriti baru oleh syarikat yang sekuriti tidak diluluskan dipegang oleh pelabur, contohnya terbitan hak, terbitan bonus, terbitan istimewa dan waran (tidak termasuk sekuriti yang tidak patuh Syariah seperti ICULS); dan
sekuriti syarikat lain yang ditawarkan oleh syarikat yang sekuriti tidak patuh Syariah dipegang oleh pelabur,
dengan syarat ia digunakan untuk mempercepatkan proses pelupusan sekuriti-sekuriti yang tidak diluluskan. Bagi sekuriti syarikat lain (seperti yang dinyatakan pada (b) di atas), sekuriti tersebut mestilah patuh Syariah.


10. Apakah yang pelabur perlu lakukan sekiranya mereka melabur dalam sekuriti yang tidak diluluskan?

MPS menasihatkan supaya pelabur melupuskan semua sekuriti yang tidak patuh Syariah dalam tempoh tidak melebihi satu bulan selepas mengetahui status sekuriti tersebut. Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan. Pelabur hanya berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja.


11. Apakah orang bukan Islam boleh menjual dan membeli sekuriti patuh Syariah?

Pelaburan dalam sekuriti patuh Syariah tidak hanya terhad kepada pelabur Muslim sahaja kerana sekuriti patuh Syariah merupakan sebahagian daripada sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Oleh itu, orang Islam dan bukan Islam boleh melabur dalam sekuriti tersebut.


12. Apakah Indeks Syariah Kuala Lumpur (KLSI) dan apakah sekuriti yang menjadi komponen dalam indeks tersebut?

KLSI telah dilancarkan pada 17 April 1999 untuk memenuhi permintaan pelabur tempatan dan pelabur asing yang ingin melabur dalam sekuriti yang selaras dengan prinsip Syariah. Ia digunakan sebagai tanda aras bagi mengukur prestasi sekuriti patuh Syariah dan membuat keputusan yang bijak berdasarkan maklumat.


13. Selain daripada senarai sekuriti patuh Syariah, apakah instrumen lain yang diluluskan oleh MPS?

Sejak penubuhan MPS, beberapa instrumen pasaran modal telah dikaji dan diluluskan seperti yang berikut:

Saham biasa
Hak Langganan Boleh Pindah
Waran Panggilan
Saham Keutamaan Tidak Kumulatif
Keutamaan Saham Boleh Tebus
Kontrak Niaga Hadapan Minyak Kelapa Sawit Mentah
Kontrak Niaga Hadapan Minyak Isirung Kelapa Sawit Mentah
Bon tanda aras Khazanah
Pensekuritian Aset Islam/Pensekuritian Hutang Islam
SSF (Kontrak Niaga Hadapan Saham Tunggal (jika pendasarnya merupakan instrumen patuh Syariah))
Kontrak Niaga Hadapan Indeks (jika pendasarnya merupakan instrumen patuh Syariah)
14. Adakah terdapat perkhidmatan pembrokeran Islam dalam industri?

Ya. Perkhidmatan pembrokeran Islam menyediakan medium perhubungan untuk para pelabur Muslim untuk berjual beli dan melabur dalam pasaran modal. Ia bermula dengan penubuhan BIMB Securities Sdn Bhd yang merupakan syarikat pembrokeran Islam sepenuhnya pada tahun 1994. Selain daripada syarikat broker saham ini, terdapat syarikat pembrokeran konvensional yang mula menunjukkan minat dalam perkhidmatan pembrokeran Islam.


15. Apakah skim unit amanah Islam?

Skim unit amanah Islam ialah dana pelaburan kolektif yang menawarkan kepada pelabur peluang untuk melabur dalam pelbagai portfolio sekuriti patuh Syariah serta diuruskan oleh pengurus dana profesional menurut prinsip Syariah. Skim unit amanah Islam ini perlu melantik jawatan kuasa Syariah atau penasihat Syariah seperti yang terkandung dalam perenggan 6.04 garis panduan "Guidelines on Unit Trust Funds" bagi memastikan pelaksanaannya berlandaskan prinsip Syariah. Skim ini terdapat dalam pelbagai bentuk seperti dana ekuiti Islam, dana sukuk, dana indeks Islam dan sebagainya.


16. Apakah syarat-syarat untuk melantik jawatan kuasa Syariah dan penasihat Syariah bagi skim unit amanah Islam ?

Jawatan kuasa Syariah dan penasihat Syariah bagi skim unit amanah Islam mesti diluluskan oleh SC dan memenuhi kriteria seperti yang terkandung dalam perenggan 6.05 garis panduan Guidelines on Unit Trust Funds .

Bagi jawatan kuasa Syariah yang dilantik, mestilah dianggotai oleh sekurang-kurangnya tiga orang individu yang bebas daripada syarikat pengurusan dan didaftarkan dengan SC. Dalam hal penasihat Syariah (syarikat) pula, syarikat tersebut mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang pegawai sepenuh masa dalam syarikat berkenaan yang ditugaskan khas untuk bertanggung jawab ke atas perkara yang berkaitan dengan Syariah bagi dana tersebut.

Untuk memohon kelulusan daripada SC, individu atau syarikat perlu menulis permohonan kepada:

Ketua
Pasaran Modal Islam
Suruhanjaya Sekuriti
No 3, Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur.

17. Bagaimana bon distrukturkan menurut prinsip Syariah dan apakah yang membezakannya dengan bon konvensional ?

Sukuk distrukturkan dengan aset patuh Syariah melalui kontrak pertukaran tertentu. Kontrak tersebut boleh diwujudkan melalui jual beli aset dengan bayaran tertangguh, pajakan aset atau penyertaan dalam perniagaan usaha sama. Oleh itu, penerbitan sukuk bukanlah berdasarkan pertukaran kertas untuk wang yang melibatkan faedah. Ia lebih merupakan pertukaran aset patuh Syariah untuk mendapatkan pembiayaan menggunakan berbagai-bagai prinsip Syariah seperti bai' bithaman ajil (BBA), murabahah, ijarah, mudharabah dan musyarakah yang membolehkan pelabur memperoleh keuntungan melalui transaksi berkenaan.


18. Siapa yang mempunyai kuasa untuk menentukan bahawa sesuatu bon distrukturkan menurut prinsip Syariah?

Penerbitan sukuk dikawal selia oleh SC melalui rangka kerja bawah Guidelines on the Offering of Islamic Securities (Garis panduan). Oleh itu, sebagaimana yang dinyatakan oleh Garis panduan berkenaan, struktur sukuk perlu disahkan dan diluluskan oleh penasihat Syariah yang dilantik oleh penerbit. Penasihat Syariah ini merupakan sama ada penasihat Syariah bebas yang telah diluluskan oleh SC atau jawatan kuasa Syariah bagi institusi kewangan yang menjalankan aktiviti perbankan Islam yang diluluskan boleh Bank Negara.


19. Apakah prinsip Syariah yang boleh digunakan dalam menstrukturkan sukuk?

Sukuk boleh distrukturkan dengan menggunakan pelbagai prinsip dan konsep Syariah yang disenaraikan dalam Lampiran 1 Garis panduan. Prinsip dan konsep ini telah disahkan oleh MPS dan dirasakan sesuai untuk penstrukturan sukuk. Walau bagaimanapun, perundingan awalan dengan MPS juga diperlukan sekiranya penerbit menggunakan prinsip dan konsep yang berlainan dengan yang tersenarai pada Lampiran 1 berkenaan. Perundingan ini juga digalakkan untuk penggunaan sebarang prinsip dan konsep yang disenaraikan pada Lampiran 1 tetapi masih belum diamalkan di pasaran.


20. Siapakah yang layak untuk menjadi penasihat Syariah bebas bagi sukuk dan apakah syarat-syaratnya?

Individu boleh diluluskan oleh SC untuk menjadi penasihat Syariah bagi sukuk apabila memenuhi kriteria seperti yang terkandung dalam perenggan 6.01 Garis panduan. Bagi syarikat pula, kriteria yang terkandung dalam perenggan 6.02 perlu dipenuhi. Untuk memohon kelulusan daripada SC, individu atau syarikat perlu menulis permohonan kepada:

Ketua
Jabatan Pasaran Modal Islam
Suruhanjaya Sekuriti
No 3, Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur.

21. Keputusan MPS berkaitan sukuk

a) Jual hutang ( bai' dayn )
MPS bersetuju untuk menerima prinsip bai' dayn iaitu jual hutang sebagai salah satu konsep yang digunakan dalam membangunkan instrumen pasaran modal Islam. Ini bersandarkan kepada pendapat sebahagian daripada ulama fikah yang membenarkan konsep ini dengan beberapa syarat. Dalam konteks pasaran modal, syarat ini boleh dipenuhi apabila terdapatnya sistem pengawalseliaan yang telus, yang boleh memelihara maslahah (kepentingan umum) peserta pasaran.


b) Sukuk tanda aras Islam

Sukuk tanda aras Islam yang juga dikenali sebagai Bon Khazanah adalah selaras dengan Syariah. Bon ini distrukturkan berdasarkan kepada prinsip murabahah.


c) Sukuk mudharabah dengan pensekuritian sewa beli Islam
MPS meluluskan konsep dan mekanisme yang digunakan dalam penerbitan sukuk berdasarkan kepada prinsip mudharabah melalui pensekuritian sewa beli Islam. Pembelian sewa beli Islam adalah berdasarkan kepada konsep Syariah jual hutang (bai' dayn).

d) Prinsip ittifaq dhimni

MPS telah meluluskan prinsip ittifaq dhimni dalam menstrukturkan sukuk. Ittifaq dhimni merujuk kepada persefahaman yang wujud sebelum sesuatu kontrak termeterai. Pembeli dan penjual telah membuat perjanjian terdahulu untuk menjual aset pada harga tertentu dan membeli semula (aset tersebut) pada harga tertentu. Dalam konteks ini peniaga utama yang telah berjaya mendapatkan tender akan membeli aset yang telah dibida. Ini merujuk kepada pesefahaman dalam transaksi jual beli selaras dengan konsep bai' muzayadah. Kebiasaannya, dalam konteks pembentukan sukuk tanda aras Islam, ia melibatkan lebih daripada seorang peniaga utama yang berjaya membeli sesuatu aset. Oleh itu, beberapa peniaga utama ini akan menjadi rakan kongsi dalam pembelian aset tersebut menurut bahagian mereka.


e) Dha' wa ta'ajjal
MPS telah bersetuju menerima penggunaan konsep dha' wa ta'ajjal dalam memajukan instrumen pasaran modal Islam. Dha' wa ta'ajjal adalah perlakuan pemiutang yang melupuskan sebahagian daripada hutangnya sekiranya penghutang menjelaskan bakinya dengan lebih cepat.


f) Jaminan pihak ketiga ke atas modal

Penerbit sukuk dibenarkan untuk mengunakan jaminan pihak ketiga ke atas modal yang dilaburkan menggunakan prinsip mudharabah/musyarakah. Mereka juga bersetuju bahawa fi (ujrah) dibenarkan untuk dibayar kepada penjamin dengan syarat jaminan tidak berasaskan kepada rekursi, iaitu pelabur tidak boleh menuntut daripada penerbit sekiranya perniagaan tersebut mengalami kerugian kerana jaminan akan diberikan oleh penjamin. Pelabur juga dibenarkan untuk meminta cagaran daripada penerbit memandangkan kemungkinan berlakunya kecuaian yang nyata daripada penerbit.


g) Anugerah kerajaan (iqta' )

Semua kontrak yang dianugerahkan oleh kerajaan seperti kontrak konsesi, pembinaan, bekalan dan perkhidmatan diterima sebagai aset pendasar yang diluluskan untuk menstrukturkan sukuk. Prinsip yang sama boleh juga gunakan kepada kontrak yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat yang berkaitan dengan kerajaan. Keputusan ini dibuat berlandaskan prinsip anugerah kerajaan (iqta').


h) Ganti rugi dan potongan

Pelabur sukuk dibenarkan untuk mengenakan ganti rugi ( ta'widh) bagi kelewatan dan kegagalan bayaran oleh penerbit sukuk. Ta'widh boleh dikenakan setelah didapati terdapat unsur mumathil (sengaja melengah-lengahkan bayaran) pihak penerbit untuk menjelaskan bayaran pokok dan keuntungan. Kadar ta'widh untuk bayaran lewat ke atas keuntungan ialah 1% setahun daripada jumlah yang tertunggak dan tidak boleh dikompaunkan. Sementara kadar ta'widh bagi kegagalan untuk menyelesaikan bayaran pokok adalah berdasarkan kepada kadar pasaran dalam pasaran wang Islam antara bank dan ia juga tidak boleh dikompaunkan.


Di samping itu, sekiranya diminta oleh penerbit sukuk untuk penyelesaian awal, potongan ( ibra') dibenarkan untuk diberikan kepada pelabur.


i) Potongan ( ibra')

MPS telah memutuskan bahawa klausa ibra' (potongan) bagi penyelesaian awal boleh dimasukkan dalam dokumen perundangan utama bagi transaksi sukuk. Keputusan dibuat berdasarkan kepada prinsip 'uruf (amalan kebiasaan), maslahah (kepentingan umum) dan untuk menghindari gharar (ketidakpastian). Peruntukan ibra' dalam dokumen perundangan utama dianggap sebagai syart (syarat) yang selaras dengan muqtadha al-'aqd (tujuan kontrak). Walau bagaimanapun, MPS menasihatkan bahawa peruntukan ibra' hendaklah diasingkan daripada bahagian harga dalam dokumen utama, yang mana peruntukan ibra' boleh dimasukkan dalam seksyen bayaran dan penyelesaian.


j) "When Issue" (WI)

Proses "When Issue" (WI) bagi penerbitan sukuk dalam pasaran utama adalah diluluskan Syariah. Keputusan ini dibuat atas dasar bahawa tidak terdapatnya unsur riba dan gharar (ketidakpastian) dalam proses WI.


k) Penetapan harga aset

MPS telah mengeluarkan garis panduan bagi penentapan harga aset sukuk bagi memudah cara proses penentuan harga belian bagi sesuatu aset yang dijadikan sebagai aset pendasar bagi sukuk yang distrukturkan di bawah prinsip ijarah, bai' bithaman ajil, bai' 'inah dan murabahah.

MPS memutuskan bahawa harga belian bagi aset, sekiranya dijual melebihi daripada harga pasaran, hendaklah tidak melebihi 1.33 kali ganda (satu dan satu per tiga) harga pasaran. Sebaliknya, sekiranya aset tersebut dijual pada kadar diskaun, harga belian tersebut hendaklah tidak kurang daripada 0.67 kali ganda (dua per tiga) harga pasaran.


Bagi memudahcarakan lagi proses penetapan harga, MPS memutuskan sekiranya harga pasaran sesuatu aset tidak dapat dipastikan, maka harga saksama atau harga lain yang dirasakan sesuai boleh diguna pakai selagi ia berasaskan kepada konsep reda meredai dan dinilai menggunakan kaedah penilaian yang bersesuaian.


l) Pensekuritian aset Islam

MPS memutuskan bahawa pensekuritian aset dibenarkan sekiranya aset pendasar instrumen berkenaan selaras dengan Syariah. Walau bagaimanapun, aset dalam bentuk hutang seperti terimaan murabahah dan bai' bithaman ajil tidak boleh disekuritikan untuk tujuan penerbitan sekuriti bersandarkan aset Islam yang distrukturkan menggunakan prinsip hutang murabahah dan bai' bithaman ajil.


m) Pemajakan belum terima konvensional tidak boleh digunakan sebagai aset pendasar bagi sukuk

Pihak yang menerbitkan sukuk perlu menggunakan perolehan belum terima daripada urus niaga berprinsip Islam, seperti perolehan belum terima daripada urus niaga ijarah, sebagai aset pendasar. Keputusan ini dibuat bagi menggalakkan lagi pembangunan instrumen Islam, terutama yang berasaskan ijarah.


n) Mekanisma kadar terapung

MPS telah memutuskan bahawa mekanisma kadar terapung boleh digunakan untuk sukuk yang berasaskan kepada Bai' Bithaman Ajil , murabahah and istisna'. Kebenaran ini berasaskan kepada penggunaan elemen rebat ( ibra') dalam menentukan kadar keuntungan efektif untuk sukuk. Kadar keuntungan efektif ini akan menjadi rujukan kepada pergerakan kadar pasaran.


o) Isu ketakpastian ke atas pemilikan barangan ( ghair mustaqir ) bawah prinsip pesanan belian ( istisna' ) dalam struktur sukuk

Urus niaga istisna' dalam struktur sukuk lazimnya bersandarkan dan disokong oleh proses dan klausa perundangan untuk melindungi pihak terlibat dalam urus niaga tersebut. Ini seterusnya disokong oleh rangka kerja perundangan dan kawal selia yang berkenaan sebagaimana yang diperuntukkan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, elemen berkaitan ghair mustaqir atau ketidakpastian dihapuskan. Sebagai tambahan, ciri-ciri prinsip istisna' adalah berbeza berbanding dengan prinsip belian terdahulu ( salam ). Elemen ghair mustaqir selalunya hanya berkaitan dengan prinsip salam .

22. Keputusan MPS berkaitan dana unit amanah Islam

a) Dana Jaminan Modal
Konsep dan struktur bagi dana jaminan modal konvensional boleh diguna pakai untuk dana jaminan modal berasaskan Syariah. Ini termasuk penggunaan jaminan pihak ketiga dan fi penjamin. Namun, dana jaminan modal berasaskan Syariah perlu mematuhi syarat Syariah yang lain termasuk pelaburan dalam instrumen patuh Syariah.
  
b) Pelaburan dalam sekuriti yang tidak patuh oleh dana unit amanah Islam
Jika dana unit amanah Islam melabur dalam sekuriti yang tidak patuh kerana pengurus unit amanah melanggar surat ikatan amanah, apa jua kerugian harus ditanggung oleh pengurus unit amanah dan tidak boleh dicaj kepada dana, kerana tidak wajar kerugian tersebut ditanggung oleh pelabur/pemegang unit.

sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)